Tuesday, January 11, 2011

PAK LATIF TAUKE JERUK MELAYU PULAU PINANG

                                                     
PENGENALAN

Misi : Menjadi usahawan jeruk bumiputera yang berjaya memasarkan produk yang halal dan berkualiti.  
Melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai potensi untuk berjaya.


Visi : Memasarkan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa.

 Siapa sahaja ke Pulau Pinang sama ada atas urusan kerja atau melancong, antara 'buah tangan" yang hampir pasti dicari untuk dibawa pulang sudah semestinya jeruk buah pala sebagai tanda rasmi sudah menjejak kaki di negeri yang lebih popular dengan jolokan 'Pulau Mutiara' itu.
     Segala macam jenis jeruk buah boleh didapati daripada pengusaha negeri berkenaan di pasaran dan ini sekaligus menjadikan siapa sahaja pelawat boleh 'rambang mata' untuk memilih jeruk kesukaan untuk dijadikan 'ole-ole' sebaik pulang ke destinasi masing-masing.
    Di tengah-tengah kerancakan memilih pelbagai jenis jeruk buah di pasaran, jauh di sudut hati sudah pasti berdetik siapa yang membuatnya dan seterusnya memonopoli perniagaan berkenaan. Tanpa rasa prejudis, mahu atau tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa ianya dibuat dan kuasai sepenuhnya oleh peniaga bukan melayu.

   Sudah sekian lama, malah boleh dikatakan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi belum ada pengusaha Melayu benar-benar menceburi perniagaan mengeluarkan produk makanan jeruk buah yang 100 peratus dikuasai pengusaha bukan Melayu.
    Umum mengetahui majoriti yang meminati produk makanan berkenaan adalah orang Melayu. Sedihnya, sebelum ini, tidak terlintas langsung 'orang kita' untuk mencecah tradisi berkenaan dan seterusnya bersaing dengan peniaga bukan melayu yang memonopoli perniagaan berkenaan.

     Atas keinsafan dan tanggungjawab sebagai seorang muslim, Abdul Latif Hashim, 52, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah bangkit dan bertindak untuk memulakan gerakan dengan membuat satu perubahan drastik menjadi 'Melayu pertama' sebagai pengeluar pelbagai jenis produk jeruk buah terbesar di Pulau Pinang.
   

LATAR BELAKANG
=


Memang tidak dinafikan ada peniaga Melayu membuat jeruk buah tetapi ianya hanya secara kecil-kecilan. Ini berlainan dengan Abdul Latif atau lebih gemar di panggil 'Pak Latif' yang bertindak sebagai pengeluar terbesar produk jeruk buah, sekaligus memecah monopoli bukan Melayu di Pulau Mutiara itu.
  "Pada awalnya saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan seorang tauke pengeluar jeruk buah di negeri ini. Tugas saya hanya terbatas mengambil bahan-bahan mentah di merata tempat di sebahagian besar semenanjung sebagaimana diarahkan.
  "Di kesempayan inilah, saya mendekati mereka dan cuba belajar cara membuat jeruk buah secara 'senyap-senyap'. Sebenarnya, bukan mudah untuk saya mendapatkan 'resepi' membuat jeruk yang dikuasai oleh bukan Melayu sejak 18 tahun lalu," kata Pak Latif mengimbau kembali bagaimana dia berjinak-jinak mempelajari cara betul membuat jeruk buah di negeri kelahirannya itu.
   Beliau berkata, penggemar jeruk buah boleh dikatakan 85 peratus adalah Melayu tetapi untuk mencari pengusaha Melayu pun susah ketika itu.
  "Sebagai seorang Muslim dan Islam itu sendiri mengutamakan kebersihan, saya berasa terpanggil dan menjadi tanggungjawab untuk menjadi pengeluar Melayu terbesar bagi memenuhi permintaan sesama muslim di negara ini," kata pengurus Jeruk Pak Latif Enterprise itu.
  Beliau ditemui semasa menyertai sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka(MITC) selama tujuh hari yang berakhir 17 Ogos lalu.
  Abdul Latif yang berkelulusan sekolah rendah dan bekerja di kilang besi pada peringkat awal berkata, sudah terlalu lama dia menjadi kuli dan upah bulanan yang diterima pula tidak setimpal dengan kerja-kerja yang dilakukan.
  "Bertindak sebagai kuli dan pemandu lori, saya bukan sahaja diarah membeli buah tetapi terlibat secara langsung dalam proses menjeruk dan memasarkannya. Selepas dua tahun menimba pengalaman sebaik berhenti kerja pada 1987, saya sudah berkira-kira untuk mengubah nasib diri dan berusaha sendiri." katanya.
  Selepas bertekad  untuk menjadi pengusaha Melayu bagi produk jeruk buah, Pak Latif berpendapat dia perlu mengambil kursus dengan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengenal pasti bahan kimia dan kuantiti yang sesuai digunakan dalam proses menjeruk.
  "Menjeruk buah membabitkan proses 'menggaram' dan 'menggula' yang mengambil masa antara dua minggu hingga tiga bulan bergantung kepada permintaan dan keperluan pasaran.
  "Saya menyertai lebih kurang 15 kursus anjuran badan-badan berkenaan sebelum membolehkan saya benar-benar yakin menceburi perniagaan jeruk buah yang berjaya. Peringkat awal, saya menjualnya di Pasar Malan dan Pasar Tani di sekitar Pulau Pinang.

' Jeruk buah keluaran syarikat 
 buah sahaja  bersih tetapi  
 terjamin halal. Produk kami 
 kini boleh didapati bukan sahaja
 di Pulau Pinang malah Kelantan,
 Terengganu,Kedah, Perak
 Melaka dan Kuala Lumpur.
 Kami juga sedang mengatur
 strategi untuk menembusi pasaran
 Singapura dan Brunei
 tahun depan.'
-Abdul Latif Hashim

     Perniagaan Pak LAtif bermula di rumah. Dia kini mempunyai kilang, dewan dan bengkel yang didirikan hasil bantuan dan kerjasama Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Lembaga Persatuan Peladang dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri itu.
     "Mereka banyak membantu saya terutama menyediakan dewan dan bengkel untuk membolehkan saya mengadakan kursus kepada yang berminat mengusahakan jeruk buah." katanya
      Beliau berkata hasil daripada kursus yang diadakannya sejak Januari lalu, dia berjaya melahirkan tidak kurang tujuh pengusaha jeruk buah Melayu yang aktif di sekitar Pulau Pinang dan Perak.
      "Saya cukup bangga kerana ada antara pelajar saya yang aktif menjalankan perniagaan dengan modal pusingan RM100 000," katanya.
      Kini, Pak Latif boleh menarik nafas lega kerana hasil jualan jeruk buahnya yang diedar kepada pemborong telah mencapai lebih RM12,000 sebulan dan beliau sudah mengambil lapan pekerja termasuk dibantu dua anaknya.
      Buat masa ini, Jeruk Pak Latif Enterprise menghasilkan 11 jenis jeruk buah iaitu pala, amra,kelubi, betik, macang, jambu, sengkuang, kedondong termasuk tiga jenis mempelam iaitu mempelam air, mempelam sala dan mempelam telur.
   "Jeruk buah keluaran syarikat buah sahaja bersih tetapi terjamin halal. Produk kami kini boleh didapati bukan sahaja di Pulau Pinang malah Kelantan,
Terengganu, Kedah, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Kami juga sedang mengatur strategi untuk menembusi pasaran Singapura dan Brunei tahun depan," katanya.
   Buat masa ini, produk Pak Latif yang dibumgkus dengan jenama ' Jeruk Mutiara' sudah memasuki Pasaraya Tesco di Kuala Lumpur.


     

4 comments:

  1. salam...area lumut dan trg kt mane jual?

    ReplyDelete
  2. salam, boleh emailkn pada saya list harga untuk setiap jeruk.shahnoorismail@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Tlg email saya herga borong jeruk.chuchasephia@yahoo.com

    ReplyDelete
  4. salam..emailkn harga borong jeruk..sherulnizam@gmail.com

    ReplyDelete